Monday, January 27, 2014

Tanah Suci #1

Pengalaman di tanah suci Makkah.

Alhamdulillah, saya dan kakak saya ditemani ayah sebagai mahram telah menunaikan fardhu haji di tanah suci Makkah pada September 21 sehingga 5 November 2013. Kami telah dijemput Allah ke rumahNya di dalam usia yang muda di mana saya baru berumur 21 tahun dan kakak saya berumur 23 tahun.

Kami ditetapkan di bawah KT 38 dan ditempatkan di Maktab 100 iaitu Rehab Al-Janadriyyah yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari Masjidil Haram. Secara peribadi saya rasa sangat teruja bercampur takut. Macam-macam pertanyaan dan bayangan muncul di benak saya sehingga tidak boleh tidur dibuatnya.

Ujian dan nikmat sebelum dan selepas tiba di Makkah.

Pada 21 september, kami diminta berkumpul di Kompleks Tabng Haji Kelana Jaya pada jam 9.00 malam, dan diminta berada di sana seawal jam 7.00 petang. Seperti yang saya katakan tadi, rezeki kami Allah permudahkan urusan di Kompleks TH. Ketika itu, ada isu yang mana kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan jemaah dari Malaysia membawa sebarang bahan makanan samada bahan basah atau kering. Betapa ramai jemaah haji Malaysia terpaksa membuka kembali beg besar mereka untuk mengeluarkan segalan bahan makanan yang hendak dibawa. Tetapi, dengan izin Allah, beg yang kami asingkan untuk bahan makanan tidak ditahan oleh pegawai keselamatan. Ketika hendak bertolak ke KLIA, ibu menasihati kami untuk naik bas terakhir supaya dia dapst menghantar kami ke KLIA. alhamdulillah, ibu dapat menghantar kami sehingga masuk kedalam perut kapal terbang. Sedihnya Allah sahaja yang tahu. Walaupun kami sudah biasa berpisah selama sebulan lebih bila ibu saya bertugas di tanah suci, tetapi perasaan meninggalkan ibu bersama adik-adik di tanah air begitu berbeza sekali. Kami dan ibu berbeza penerbangan kerana ibu akan terbang bersama jemaah KT lain.

Di dalam penerbangan, Allah beri secubit ujian setelah diberi nikmat yang agak banyak. Kami ditempatkan di bahagian hadapan kapal terbang dan nak dijadikan cerita, kawasan itu tiada penghawa dingin. Panasnya dan sempitnya sukar digambarkan. Tetapi oleh kerana keletihan kami tertidur juga tetapi tidak nyenyak. Ayah lagi terasa kepanasan kerana dia memakai kain ihram yang tebal. Tetapi kesabarannya cukup tinggi ketika itu, tidak merungut walau satu perkataan pun sedangkan saya dan kakak sibuk menyebut panas.

Ketika sampai di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah, Allah memudahkan perjalanan kami dengan tidak menunggu lama di ruang menunggu. Tetapi, kami terpaksa menunggu bas yang tidak kunjung tiba selama lebih kurang 2 jam. Tidak mengapalah, asalkan bas selamat sampai dan kami selamat tiba di Makkah.
Selepas satu jam setengah menempuh perjalanan ke Makkah, kami tiba di hotel yang telah ditetapkan. Ramai berpesan kepada kami, jika mahukan katil yang selesa, lekas pergi ke bilik dan cari katil yang elok. Kami pun berjalan dengan pantas, mengambil makanan dan terus naik ke bilik. Alahai biasalah orang muda, kelam kabut. Kami pula berbadan besar dan tinggi seperti orang arab, tidak boleh tidur di katil tambahan yang kecil. Maha Suci Allah, Allah telah tetapkan yang terbaik buat kami
 Kami ditempatkan di bilik yang besar, dua bilik air, dua tingkat dan empat bahagian. Dua bahagian di bahagian atas ditempatkan dua katil di setiap bahagian dan dua bahagian di bawah yang mana satu bajagian tiga katil dan satu bahagian lagi kawasan peti ais, jemur baju dan solat. Keselesaan yang tidak terkata. Tiada katil tambahan dan kawasan bahagian kami juga luas untuk kami adik-beradik yang sama besar ini. Makcik-makcik di dalam bilik itu juga baik-baik belaka. Semuanya boleh tahan dengan perangai kami yang suka bergaduh ini. Rindu rasanya bila teringat kembali.

Sahabat Tabung Haji

ibu sudah berpesan kepada kami sejak di Malaysia lagi, mohon untuk menjadi Sahabat TH. Pada satu hari, saya, kakak dan juga ayah menaiki lif untuk turun ke lobby dan seterusnya ke masjid. Hendak dijadikan cerita, kami terlihat notis yang mana pengurusan maktab 100 memerlukan sukarelawan untuk menjadi sahabat TH. Kami pun apa lagi,  dengan hati yang terbuka terus pergi ke pejabat pengurusan dan mendaftar untuk sahabat TH. Tidak sabar rasanya untuk bersama-sama pegawai TH untuk menyantuni Dhuyufurrahman.

Dua hari sebelum bertolak ke Masyaer, kami diberi taklimat oleh Pengurus Maktab, Tn. Haji Hamdan, tentang perjalanan pergi dan balik jemaah, bagaimana mahu memastikan perjalanan berjalan dengan lancar dan membahagikan tugas menghantar pelekat maklumat peribadi ke bilik jemaah. Saya bersama kakak serta seorang lagi jemaah yang sebaya kami yang kini sudah pun menjadi sahabat baik kami, pergi ke hotel Bisyarah Mawaddah yang juga hotel maktab 100. Ketika itu pun kami sudah diuji dengan perangai jemaah yang bermacam-macam ragamnya. Ada jemaah yang sudah tua yang sukar faham apa yg diterangkan, tetapi tanpa merungut kami menerangkan walau sudah banyak kali bercakap perkara yang sama. Ada juga yang tidak mahu mendengar apa-apa dan terus menutup pintu bilik. Yang paling kami bertiga rasa seronok sekali bila ada sekumpulan makcik-makcik melayan kami dengan hati yang terbuka, bergelak ketawa dan mengucapkan terima kasih banyak kali kepada kami. Allah sahaja yang tahu betapa seronoknya rasa hati kami.

Pada Ahad 8 Zulhijjah bersamaan 13 Oktober 2013, tugas kami sebagai Sahabat TH bermula di hotel Bisyarah Mawaddah pada paginya, kerana bas mula bergerak pada lebih kurang jam 11 pagi dan bas di Rehab Al-Janadriyyah mula bergerak selepas solat zohor. Kami diminta untuk memanggil jemaah dari tingkat ke tingkat mengikut KT yanh ditetapkan. Seronok juga melihat gelagat makcik dan pakcik jemaah haji yang mula kelam kabut apabila dipanggil, mula bertanya sudah boleh niat ihram ke belum, sudah bolej sembahyang sunat ihram ke belum. Ustaz dan Ustazah PIHTAS sejak dari kursus asas di tanah air sehingga di dalam taklmat di tanah suci ada berpesan kepada jemaah haji, waktu afdal untuk niat ihram adalah ketika kaki melangkah keluar dari bangunan penginapan, tetapi jika mahu niat lebih awal juga tiada masalah.

Apabila jemaah berkumpul di luar halaman hotel, petugas tabung haji memberikan kad nombor bas kepada jemaah dan kad itu harus disimpan sehingga kembali ke Makkah semula. Kami kemudiaannya menaiki bas bernombor 38. Ujian Allah datang tidak kira masa, Allah menguji saya dan kakak. Apabila kami menaiki bas, tiada satu pun tempat kosong untuk kami duduki. Petugas haji bertanya kepada kami, samada kami mahu manaiki bas lain atau mahu berdiri. Kami mengambil keputusan untuk berdiri kerana tidak mahu meninggalkan ayah dan menyusahkan ayah untuk berpindah ke bas yang lain. Tidak mengapalah, perjalanan bukannya jauh mana pun. Kakak saya berdiri di tepi pintu dan saya berdiri di atas tangga. Sepanjang perjalanan kami bertalbiah dan rasa sebak yang teramat sangat di hati ini.

Selepas 20 minit lebih kurang, kami sampai dia tapak perkhemahan di Arafah. Lenguh kaki tidak terasa bila turun dari bas. Kami cuma mahu cepat hantar barang ke khemah dan bertugas untuk membantu jemaah haji. Siapa sangka selepas ujian yang diberi, nikmat pula dikurniakanNya, ruang khemah kami juga luas di Arafah, dan cukup selesa untuk kami berdua duduk tanpa mengganggu ruang orang lain. Selepas itu, kmi bertugas daripada jam 3 ptg sehingga jam 11 malam dan kami dapat merehatkan badan sehingga pagi walaupun pada jam 3.30 pagi kami dikejutkan dengan bacaan Al-Quran di tepi telinga. Terasa seperti sedang ditalkinkan pula sedangkan semua jemaah di dalam khemah sedang tahajjud malam.

Pada jam 5.30 pagi kami membersihkan diri dan membantu petugas dan jemaah haji dalam beberapa perkara. Bermula jam 10 pagi, semua jemaah solat sunat dhuha secara berjemaah dan seterusnya sedikit tazkirah pagi. Khutbah dimulakan sebelum zohor dan solat zohor dan asar secara jama' taqdim. Selepas itu kami dipanggil oleh Pengurus Maktab untuk sedikit taklimat tentang perjalanan ke muzdalifah dan seterusnya ke Mina. Kami sudah berjanji dgn ayah untuk berdoa bersama-sama di bawah langit yang terbuka. Ketika itu,air mata sudah terlalu murah, kami berdoa penuh keinsafan dan mengharapkan supaya Allah memakbulkan doa kami kerana berdoa ketika itu ibaratkan makbulnya seperti berdoa di hadapan multazam dan terus berdoa sehingga matahari terbenam. Kami memulakan tugas pada jam 5 petang dan menaiki bas terakhir pada jam 10.30malam, ayah sudah lama bergerak meninggalkan kami bersama sahabat TH yang kami panggil bonda untuk menjaga kami. Kesian juga pada ayah untuk menunggu sehingga lewat malam. Di sepanjang bertugas di Arafah, kami dimarahi jemaah kerana bas lambat, juga ada disebabkan jemaah tidak jumpa pasangan. Alhamdulillah, saya yang di tanah air cukup susah untuk menahan marah dikurniakan kesabaran yang amat tinggi oleh Allah sejak sampai di Tanah Suci lagi. Inilah yang orang kata, banyak Allah nak duga bila tibanya hari Masyaer.

Kami bertolak dari Arafah pada jam 10.30 malam dan tiba di Muzdalifah pada jam lebih kurang jam 11 malam. Dengan keletihan Kami mencari tempat untuk membentang tikar dan berehat sambil mencari batu. Untuk menghilangkan rasa letih kami bersembang-sembang sesama sendiri juga petugas haji yang ada. Masa yang berlalu tidak terasa langsung, saya sangkakan baru 1 jam di Muzdalifah, rupa-rupanya sudah jam 3 pagi! Saya tidak tidur langsung dan meminta izin pada penolong pengurus maktab untuk bergerak dahulu ke Mina bersama bonda untuk membantu sahabat TH di sana pula. Kakak saya dan Nadhirah bergerak lewat sedikit kerana mahu duduk di Muzdalifah dan membantu di sana.

Ketika sampai di Mina, saya dan bonda dipanggil oleh petugas haji dan mengatakam bahawa kami disediakan khemah khas bersama petugas wanita. Alhamdulillah! Ruang yang luas sekali lagi. Allah beri kami nikmat yang tidak terkira banyaknya. Bersyukurnya kami ke hadrat Allah atas nikmat itu. Semangat untuk bertugas kembali dan saya terus bertugas walau dengan kaki melecet sehingga jam 6. Tenaga sudah habis dan saya sangat memerlukan tidur. Allah sahaja yang tahu bagaimana nikmatnya bila dapat menyantuni dhuyufurrahman. Sejak dari itu saya dan juga kakak sudah menanam azam untuk bekerja dengan Tabung Haji dan jika ada rezeki kami dapat menyantuni dhuyufurrahman lagi.

Kami tinggal di Mina selama 4 hari, dan masih ada ujian yang diberi. Khemah kami tidak mempunyai penghawa dingin, maka kepanasan lah kami disiang hari tetapi sejuk menusuk tulang pada waktu malam. Sejak dari Mina kami mula rapat dan boleh bergaul bersama petugas haji. Kami sangkakan mereka sangat tidak mesra, rupa-rupanya kami silap. Mereka sangat baik dan boleh dijadikan kawan.

Pada hari terakhir di Mina, kami keluar selepas subuh untuk melontar jamrah pada hari terakhir. Ya Allah, sebaknya rasa dihati. Entah bila boleh datang ke tanah Mina lagi. Kami berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah menjemput kami lagi. Bas untuk bertolak ke Makkah sudah sampai sejak jam 7 lagi. Dan kami mula bertugas membantu jemaah untuk pulang ke Makkah sehingga jam 3 petang. Sahabat yang tinggal di Mina hanya saya, juga kakak, Nadhirah, Kauthar dan Pakcik Ramli. Kami bertugas bersama petugas haji, lompat turun naik bas seperti di Malaysia sedangkan di tanah arab tiada wanita melakukan kerja-kerja seperti itu! Syeikh Muassassah tidak membenarkan kami mengangkat beg untuk dimasukkan ke dalam perut bas, tapi kami tak peduli. Kami lakukan juga kerja itu. Maaflah syeikh, kami bukan seperti wanita arab, kami tidak boleh duduk diam. Kami menaiki bas terakhir bersama petugas-petugas haji. Bila dilihat wajah mereka, kelihatannya sangat letih! Kesian mereka. Di dalam perjalanan, penolong pengurus maktab, Haji Hapizuddin berkata kepada kami, haji mabrur tidak semestinya tentang perkara haji sahaja, dengab cara kami membantu jemaah pun boleh menambah markah untuk mendapat haji mabrur. Beliau mengucapkan berbanyak terima kash kepada kami dan mendoakan kami mendapat haji mabrur. InsyaAllah.

Keluarga Baru

Sepanjang di Makkah, kami mendapat ramai keluarga baru. Kami sekarang sudah ada 2 bapa baru iaitu pengurus maktab, Haji Hamdan yang kami panggil Bapa dan PIHTAS Ustaz Shafiee yang kami panggil Walid. Juga petugas-petugas haji yang lain yang kami sudah agak rapat dan diminta untuk memanggil mereka 'uncle' dan 'kakak'. Bukan itu sahaja, kami juga sering mengusik staf klinik yang sehinggakan Doktor Ali mengatakan bahawa kami ini menceriakan keadaan dan mengatakan kita semuanya satu keluarga.

Apabila kami bertolak ke Madinah, mereka melambai seperti tiada pengakhiran. Sebak rasa hati untuk meninggalkan keluarga baru di Makkah. Tetapi Alhamdulillah, pertalian silaturrahim yang dibina diteruskan di Malaysia.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menjemput kami lagi ke tanah sucinya. amin.


Nur Syaza Aiman binti Mohd Saupi (saya)
Nur 'Afifah binti Mohd Saupi (kakak)
27 Januari 2014